puasa mengikut trimester
Sepanjang tempoh kehamilan normal 40 minggu dibahagikan kepada tiga
trimester, setiap trimester mempunyai lebih kurang 13 minggu.
Semasa di awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil
sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaiknya
tidak berpuasa.
Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi
daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda
bolehlah berpuasa.
Semasa usia kandungan trimester kedua dan ketiga, keperluan protein,
kolesterol, lemak, vitamin dan mineral meningkat dengan mendadak.
Makanan yang seimbang dan mencukupi akan juga membekalkan tenaga yang cukup bagi memenuhi keperluan janin dan plasenta.
Sepanjang tempoh ini, sebahagian besar tenaga disimpan di dalam bentuk glikogen dan lemak.
Jadi tidak hairanlah, mengapa ibu yang kurang pemakanan biasanya
mempunyai bayi yang kurus manakala fetus daripada ibu yang obes dan
berlebihan nutrien, lazimnya gemuk.
Ketika kandungan berusia enam hingga sembilan bulan, janin mula
menghasilkan insulin untuk mengubah glukos ke bentuk glikogen dan lemak
yang menyumbang kepada berat badannya.
Ketika berpuasa, ibu mengalami keadaan hipoglisemia selama beberapa jam
terakhir berpuasa. Keadaan ini juga menyebabkan bayi tersebut mengalami
keadaan yang sama dan akan menggunakan semula bekalan yang telah
disimpan.
Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa yang paling sesuai adalah
semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu dinasihatkan
agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.
Ibu-ibu yang mempunyai penyakit seperti di bawah disarankan agar tidak berpuasa:
- Morning sickness yang teruk; ibu-ibu ini sentiasa lemah, mual
dan mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Semasa peringkat
ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman, apatah lagi
yang berzat tinggi
- Penyakit kronik seperti diabetes mellitus,
darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit
ini biasanya memerlukan rawatan seperti insulin atau ubat-ubatan lain.
Tanpa ubat-ubatan, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan,
serta kesihatan ibu akan turut terjejas
- Anemia/kekurangan darah semasa mengandung
- Oligohidramnios (air ketuban/mentuban yang sedikit/kering)
- Pesakit jantung
- Tumbesaran bayi yang terencat
- Mengalami perdarahan semasa mengandung.
Panduan pemakanan ibu hamil sepanjang Ramadan
Seseorang itu tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk
makan secara berlebihan terutamanya semasa bulan Ramadan. Piramid
makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat
dan seimbang.
Pengambilan makanan dari pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya
amat penting. Agar ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan
makanan yang mempunyai nilai kalori dan protein yang tinggi seperti
daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar.
Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan
nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya
menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.
Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua
hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja,
bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya.
Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya ibu-ibu hamil kerap membuang
air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan bahawa, seseorang itu tidak
mengalami dehidrasi.
Air amat diperlukan oleh bayi dalam membentuk air mentuban. Biasanya
seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.
Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda
seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa.
Minumlah segelas susu setiap kali bersahur.
Pilihan yang baik untuk berbuka dan bersahur
Semasa berbuka puasa, anda digalakkan untuk mengambil makanan dalam
kuantiti yang kecil. Jangan makan dalam kuantiti yang banyak kerana ini
boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Antaranya buah-buahan segar, kurma, jus buah-buahan segar, kuih-muih
yang kurang manis dan kurang lemak (apam beras, popia basah), yogurt
rendah lemak yang ditambah dengan buah-buahan segar, telur rebus/ayam
yang dipanggang, kacang panggang yang dimakan bersama roti bijirin.
Selepas beberapa jam kemudian, anda boleh menikmati hidangan yang lain
seperti roti bijirin yang berintikan telur dan tomato, ayam rebus atau
panggang dengan salad, keju dengan salad, atau tuna dengan timun dan
tomato.
Atau, pasta dengan kuah yang berasaskan tomato, bebola daging dan salad,
mihun sup dengan ayam dan sayur-sayuran, nasi putih dengan ikan kukus
dan sayur-sayuran.
Atau, laksa Penang dan sayur-sayuran, mihun goreng kurang minyak yang lengkap dengan ayam atau daging dan sayur-sayuran.
Begitu juga dengan waktu bersahur, anda digalakkan mengambil makanan
yang seimbang dan amalkan pengambilan makanan yang rendah lemak. Makanan
yang dimakan semasa sahur akan dapat bertahan selama lapan jam ataupun
lebih awal.
Tip agar sentiasa segar semasa mengandung di bulan Ramadan
- Jangan lupa selalu makan makanan berzat baik pada saat sahur
atau berbuka puasa. Walau menu sederhana, yang penting mengandungi lima
unsur zat lengkap seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan
mineral
- Usahakan untuk mencegah dehidrasi tubuh dengan banyakkan meminum air
putih pada malam hari. Hal ini penting dilakukan, kerana pada siang
hari, aktiviti kita cenderung banyak mengeluarkan keringat baik di
ruangan terbuka atau berhawa dingin
- Pada saat berbuka, mulakan dengan makanan atau minuman hangat dan
manis seperti Milo, susu atau minuman manis lainnya. Tapi ingat, jangan
mengambil minuman yang mengandungi soda, kerana dapat menimbulkan akibat
buruk bagi perut anda
- Jangan minum air dingin atau ais. Biasakanlah berbuka dengan minuman
yang hangat. Perut yang kosong kerap menjadi kembung, bila anda terus
berbuka puasa dengan air dingin
- Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan
berbuka. Tujuannya untuk memberikan keseimbangan terlebih dahulu
terhadap sistem pencernaan kita. Ingat, jangan mengambil makanan
berlebihan dan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi
seperti telur dan ikan masin
- Berbuka puasa hendaknya dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak
terburu-buru agar perut tidak terkejut. Untuk meringankan kerja
penghadaman, kunyah makanan dengan baik
- Supaya anda mampu menahan rasa lapar, perbanyakkanlah mengambil
jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh
memerlukan waktu lebih lama untuk menghadamkan makanan yang banyak serat
- Selain memperbanyakkan makanan berserat dan berprotein, sebaiknya
anda juga menyediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral
serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari
- Vitamin yang penting diambil setiap hari adalah vitamin A, B dan C.
Tetapi, kalau anda sudah makan buah berwarna kuning atau merah, sayur
berwarna hijau tua dan kekacang, maka tidak perlu khuatir kekurangan
vitamin tersebut.